YB DR HJ SHEIKH IBRAHIM SALLEH ADUN Sg Abong ingin merakamkan ucapan sekalung tahniah di atas ketegasan dan kepantasan Yang Dipertua MPM, En Abdul Wahab Ridwan yang telah mengarahkan supaya iklan-iklan ah long yang dinaikkan tanpa permit diturunkan serta merta, malah mengambil dan menghantar pula nombor-nombor perhubungan ah long dari iklan itu ke pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
----------------------------------------------------
Abdul Wahab Ridwan (kiri) menunjukkan sebahagian iklan pinjaman wang yang diturunkan dalam operasi di Jalan Bentayan dan Taman Orkid, Muar, kelmarin.
MUAR 3 Jun - Majlis Perbandaran Muar (MPM) memandang serius masalah lambakan pengiklanan kain rentang ceti haram atau ah long yang semakin menjadi-jadi di bandar ini dengan usaha berterusan dilakukan pihak berkenaan untuk menurunkannya.
Yang Dipertua MPM, Abdul Wahab Ridwan berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan supaya mana-mana kain rentang ah long diturunkan serta-merta berikutan implikasi negatif terhadap masyarakat.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, jumlah iklan tanpa permit tersebut mencatatkan peningkatan mendadak berbanding sebelum ini.
"Tindakan mereka seolah-olah mencabar kita... usaha yang dibuat MPM kini adalah untuk giat menjalankan operasi menurunkan iklan bagi membersih dan mengindahkan daerah ini daripada iklan sedemikian.
"Saya sudah mengarahkan semua pegawai MPM apabila nampak saja iklan tanpa permit dipasang di mana-mana kawasan supaya ia segera dicabut dan diturunkan tanpa menunggu operasi dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program bersama penduduk dan ahli majlis MPM menurunkan iklan ah long yang dikesan di sekitar Jalan Bentayan dan Taman Orkid di sini semalam.
Menurut Abdul Wahab, beliau juga mengharapkan kerjasama orang ramai untuk sama-sama menurunkan iklan ah long yang didapati di kawasan perumahan masing-masing.
"Mereka memasang iklan sesuka hati sehingga menyusahkan masyarakat dan akibatnya, MPM terpaksa membazir tenaga dan masa sedang lebih banyak isu lain yang perlu diselesaikan.
"Selain itu, iklan-iklan yang ditampal dengan gam di papan tanda jalan, tiang lampu, penghadang jalan lebih menyusahkan kerana sukar dibuang dan ia bukan hanya mencacatkan pemandangan, malah ada nama jalan turut 'hilang'," katanya.
Katanya lagi, sehingga kini, MPM telah mengumpul sebanyak 39 nombor telefon ejen pinjaman wang yang merangkumi ah long dan yang berlesen menerusi operasi yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu.
Beliau memberitahu, kesemua nombor pada iklan tanpa permit itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk tindakan selanjutnya termasuk menyekatnya.
"MPM bukan menghalang atau menegah mereka berniaga terutama kepada syarikat pinjaman wang berlesen, tetapi berharap mereka gunakan saluran betul, ikut syarat dan cara dengan membuat permohonan," katanya.
0 comments