JOHOR BHARU, 22 Jan (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar dilantik Pemangku Raja selepas ayahanda baginda, Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, dimasukkan ke hospital di sini pada hari Jumaat kerana gering.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad mengumumkan Sultan Iskandar telah dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini.
"Dengan ini Jumaah Majlis Diraja membuat keputusan di bawah Fasal 9(1)(b) dan 9(2) Bahagian Pertama Undang-undang Tuboh Kerajaan Negeri Johor 1895 setelah menerima laporan kesihatan daripada tiga pakar perubatan bersetuju melantik Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja pada hari ini bagi menjalankan tugas Raja semasa kegeringan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar," beliau mengumumkan di Istana Besar Johor Baharu di sini pada hari Jumaat.
Tunku Osman turut meminta rakyat berdoa supaya Sultan Iskandar sembuh sebagaimana sediakala.
Majlis itu dihadiri oleh Exco kerajaan negeri.
Bagi anakanda sulung Sultan Johor, ini merupakan kali kedua baginda dilantik sebagai Pemangku Raja.
Baginda pertama kali dilantik memegang jawatan itu pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Tunku Ibrahim Ismail, 51, ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 ketika berusia 22 tahun.
Baginda yang bernikah dengan Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dikurniakan lima putera dan seorang puteri.
YB DR HJ SHEIKH IBRAHIM SALLEH : Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga Baginda Sultan sembuh. Daulat Tuanku.
0 comments