TAMAN DESA SG ABONG - 23 MEI 2010 : Satu Program Gotong Royong Perdana anjuran Polis Daerah Muar telah diadakan pada Ahad lepas. YB Dr. Hj. Sheikh Ibrahim Salleh adalah antara tetamu jemputan yang diundang untuk sama-sama memeriahkan lagi program ini yang disifatkan sebagai program memasyarakatkan polis.
Pelbagai acara menarik diadakan di Gelanggang Terbuka Taman Desa. Ini adalah antara program yang dirancang bagi menghidupkan Projek Komuniti Polis di seluruh DUN Sg Abong.
Taman Desa adalah salah satu taman yang berada dalam kawasan Sg Abong yang kini menjadi tumpuan banyak pihak untuk mengadakan program di situ.
PAS juga kerap mengadakan program di Taman Desa ini terutamanya melalui aktiviti pendidikan iaitu Temasya Sukan PASTI dan Konvokesyen PASTI Kawasan Bakri. Tambahan pula, kediaman YB ADUN Sg Abong juga di taman ini. Hubungan rapat YB dengan penduduk setempat tanpa mengira fahaman politik berjaya mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Maka, tidak hairanlah program gotong royong ini berjaya dilaksanakan kerana mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dari penduduk setempat.
Sebagai peringatan kita bersama, Polis menggalas tanggungjawab yang besar dalam menjaga keselamatan orang ramai. Namun, segala musibah yang berlaku, mewujudkan cabaran kepada Polis untuk meningkatkan intergriti dan kepercayaan orang ramai terhadap mereka. Kita tidak pernah menafikan bahawa Polis sememangnya amat berjasa kepada rakyat terutamanya dalam menurunkan kadar jenayah dalam pelbagai cara dan bentuk. Cuma, apa yang diharapkan oleh rakyat ialah kepantasan menyelesaikan isu-isu, supaya kepercayaan rakyat terhadap Polis tidak terhakis.
Program gotong royong seperti ini dilihat sebagai salah satu cara mendekatkan PDRM dengan masyarakat semula dengan harapan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat dan rakyat semakin teguh bersama-sama Polis dalam membanteras jenayah. RakanCop juga adalah contoh terbaik penyediaan saluran bantuan oleh orang awam kepada Polis. RakanCop Johor menduduki tangga keempat dari segi jumlahnya iaitu seramai 36560 selepas Perak, Kuala Lumpur dan Selangor. Tahniah, kerana program ini berjaya !!
Posted by
admin
on
24 Mei 2010
0 comments