AHAD 17/10/2010 TAMAN SRI BAKRI : Ahli Dewan Undangan Negeri N13 DUN Sg Abong, Yang Berhormat Dr. Hj. Sheikh Ibrahim Salleh telah meluangkan masa menziarahi dan menyampaikan sumbangan segera kepada mangsa kebakaran di Taman Sri Bakri (salah satu taman yang terletak di Jalan Bakri) pada lebih kurang 3.30 petang Ahad yang lalu.
Tinjauan beliau dan beberapa individu dari Sekretariat DUN mendapati bahawa tiada kemalangan jiwa berlaku namun sebuah bilik yang dilaporkan terbakar didapati terbakar keseluruhannya sehingga memusnahkan pakaian, katil, tilam dan perabot berkaitan.
En. Haizam selaku ketua keluarga kepada penghuni rumah berkenaan berasa terharu kerana YB sudi dan sanggup meluangkan masa untuk menziarahinya walaupun kejadian berlaku pada hari Ahad, hari tidak bekerja. Dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada jiran-jiran dan pihak bomba yang segera melaporkan kejadian sehingga kebakaran itu tidak merebak ke lokasi lain. Beliau juga merakamkan berbanyak terima kasih kepada YB dan pembantu-pembantu beliau dari Sekretariat DUN yang menziarahi dan memberi sumbangan segera sebanyak RM200, di mana nilai sumbangan kewangan dan sokongan moral yang dicurahkan itu dirasakan amat bermakna bagi beliau.
0 comments