NUSAJAYA : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Abong (PAS), YB DR SHEIKH IBRAHIM SALLEH mempersoalkan sikap pemimpin BN negeri yang membisu apabila kerajaan pusat berura-ura untuk membina jambatan ketiga walaupun sebelum ini mendesak pembinaan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor diteruskan.
Cadangan membina jambatan ketiga itu dibuat Dato’ Seri Mohd Najib Razak sebaik menjawat jawatan Perdana Menteri.
"Sebelum ini mereka begitu beriya-iya meminta supaya projek jambatan bengkok ini diteruskan memandangkan jambatan ini lebih ideal serta memberi manfaat yang sangat besar kepada negeri ini."
"Maka kedengaran pula semua pihak menyebut dan meminta kerajaan menyambung semula projek ini bahkan saya sebagai rakyat negeri ini juga bersetuju dengan cadangan tersebut."
"Hairannya isu jambatan ketiga ini menjadi senyap setelah Perdana Menteri dan Menteri Besar mengadakan lawatan ke Singapura," katanya ketika berucap di Dewan Undangan negeri (DUN) Johor, baru-baru ini.
Beliau turut mempersoalkan pihak sebenar yang mencetuskan idea jambatan ketiga itu dan yakin cadangan itu datang daripada kerajaan Singapura.
YB DR SHEIKH IBRAHIM SALLEH juga hairan kerana tiada langsung bantahan dibuat BN negeri berhubung cadangan pembinaan jambatan ketiga itu, sehinggalah Sultan Johor, Sultan Iskandar menyuarakan ketidakpuasan hati baginda semasa bertitah merasmikan pembukaan sidang DUN 18 Jun lalu.
"Patik menjunjung kasih di atas ketegasan serta keberanian Tuanku Sultan menyuarakan ketidakpuasan hati baginda terhadap cadangan jambatan ketiga ini," kata beliau.
YB turut mencadangkan supaya satu usul dibentangkan di dewan ini bagi menyatakan pendirian rakyat Johor berhubung cadangan pembinaan jambatan ini.
"Kalaulah kita semua rakyat Johor khususnya Ahli-ahli Yang Berhormat dalam dewan yang mulia ini tidak setuju dengan jambatan ketiga, maka kita usulkan bersama bahawa kami rakyat Johor tidak setuju langsung."
"Sebaliknya apa yang kami mahu adalah jambatan kedua atau jambatan bengkok, kita perlu satu suara yang solid dalam isu ini," tegas beliau.
Posted by
admin
on
01 Ogos 2009
0 comments