NUSAJAYA : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Abong (PAS), YB DR SHEIKH IBRAHIM SALLEH mempersoalkan sikap pemimpin BN negeri yang membisu apabila kerajaan pusat berura-ura untuk membina jambatan ketiga walaupun sebelum ini mendesak pembinaan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor diteruskan.
Cadangan membina jambatan ketiga itu dibuat Dato’ Seri Mohd Najib Razak sebaik menjawat jawatan Perdana Menteri.
"Sebelum ini mereka begitu beriya-iya meminta supaya projek jambatan bengkok ini diteruskan memandangkan jambatan ini lebih ideal serta memberi manfaat yang sangat besar kepada negeri ini."
"Maka kedengaran pula semua pihak menyebut dan meminta kerajaan menyambung semula projek ini bahkan saya sebagai rakyat negeri ini juga bersetuju dengan cadangan tersebut."
"Hairannya isu jambatan ketiga ini menjadi senyap setelah Perdana Menteri dan Menteri Besar mengadakan lawatan ke Singapura," katanya ketika berucap di Dewan Undangan negeri (DUN) Johor, baru-baru ini.
Beliau turut mempersoalkan pihak sebenar yang mencetuskan idea jambatan ketiga itu dan yakin cadangan itu datang daripada kerajaan Singapura.
YB DR SHEIKH IBRAHIM SALLEH juga hairan kerana tiada langsung bantahan dibuat BN negeri berhubung cadangan pembinaan jambatan ketiga itu, sehinggalah Sultan Johor, Sultan Iskandar menyuarakan ketidakpuasan hati baginda semasa bertitah merasmikan pembukaan sidang DUN 18 Jun lalu.
"Patik menjunjung kasih di atas ketegasan serta keberanian Tuanku Sultan menyuarakan ketidakpuasan hati baginda terhadap cadangan jambatan ketiga ini," kata beliau.
YB turut mencadangkan supaya satu usul dibentangkan di dewan ini bagi menyatakan pendirian rakyat Johor berhubung cadangan pembinaan jambatan ini.
"Kalaulah kita semua rakyat Johor khususnya Ahli-ahli Yang Berhormat dalam dewan yang mulia ini tidak setuju dengan jambatan ketiga, maka kita usulkan bersama bahawa kami rakyat Johor tidak setuju langsung."
"Sebaliknya apa yang kami mahu adalah jambatan kedua atau jambatan bengkok, kita perlu satu suara yang solid dalam isu ini," tegas beliau.
JOHOR BAHRU, 18 Mei (Hrkh) - Kejayaan Pakatan Rakyat memerintah beberapa negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu mendorong PR di negeri ini mencari jalan serta melipatgandakan usaha bagi menuruti jejak langkah negeri-negeri tersebut.
Kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat ini terbukti apabila mereka sentiasa duduk semeja berbincang serta merancang bagi merealisasikan matlamat dan hala tuju perjuangan gabungan itu pada masa depan.
"Apa yang kita lakukan ini menunjukkan bahawa kita memang serius untuk mengambil-alih pemerintahan negeri ini dari BN pada PRU akan datang; hasrat dan cita-cita ini tidak mustahil untuk menjadi kenyataan jika semua pihak terus konsisten dan ikhlas untuk membela nasib rakyat," kata Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Dr Mahfodz Muhamad selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat Johor di Skudai, 13 Mei lalu.
Hadir sama pada perjumpaan itu ialah Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Haw, Pengerusi KeADILan Johor, Abdul Halim Dawam, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan para pemimpin Pakatan Rakyat Johor.
Pakatan Rakyat Johor mempunyai lima wakil di Dun Johor iaitu Dr Mohamad Taslim (Maharani), Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh (Sungai Abong), Dr Boo Cheng Haw (Skudai), Ong Kow Meng (Senai) dan Ng Lam Hua (Mengkibul).
Menurut Dr Mahfodz, berbagai perkara telah dibincangkan dan dipersetujui pada pertemuan kali ini.
"Saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi terhadap masa depan Pakatan Rakyat di negeri ini berasaskan kepada keputusan PRU lalu.
"Bagaimana pun sokongan rakyat ini masih belum mencukupi bagi PR untuk meraih kemenangan besar sehingga membolehkan kita memerintah negeri ini, begitu pun kita tetap bersyukur dengan kemenangan beberapa kerusi Dun dan satu Parlimen di Johor, ini adalah petanda yang sangat baik bagi Pakatan Rakyat negeri ini.
"Kita mengharapkan kemenangan yang lebih besar akan diperolehi pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Sumber : Harakahdaily
BATU PAHAT, 20 April (Hrkh) - PAS Johor menyifatkan tindakan Johor Corporation (Jcorp), syarikat milik penuh Kerajaan Johor, melalui anak syarikatnya Pelaburan Johor Berhad (PJB), yang berura-ura mahu menamatkan Skim Amanah Saham Johor (ASJ), sebagai tindakan tidak bertanggung jawab.
Tindakan menamatkan ASJ ini juga menunjukkan sikap Kerajaan Johor dan Jcorp yang cuba lari daripada tanggung jawab di atas prestasi buruk Skim Amanah ini sejak 1997 sehingga hari ini, kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Muhamad, di sini.
"Pada 1 April lalu, PJB telah mengeluarkan Notis Mesyuarat Luarbiasa (EGM) kepada Pemegang-Pemegang Unit ASJ yang akan diadakan pada 24 April ini, notis mesyuarat ini juga turut menyatakan agenda utama mesyuarat ini ialah bagi meluluskan resolusi penamatan Skim ASJ".
Jika resolusi ini diluluskan maka penamatan skim ASJ akan berkuat kuasa pada 31 Mei 2008, katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat PAS Johor, dekat sini. baru-baru ini.
Menurut beliau, ASJ telah dilancarkan pada 1 Mei 1992 dengan menawarkan 299.35 juta unit saham pada harga RM1.00 setiap unit, ini bermakna dana pelaburan ASJ berjumlah RM299.35 juta.
"ASJ yang diwujudkan khusus bagi orang Melayu dan bumiputera di negeri ini telah berjaya menarik seramai 125,000 pelabur, yang mana sebahagian besar pelaburnya adalah ahli-ahli UMNO Johor.
"ASJ telah mendapat sambutan hebat di kalangan orang Melayu Johor berikutan kenyataan Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Jcorp, Tan Sri Mohamad Ali Hashim, yang menyatakan nilai saham ASJ akan ditingkatkan sehingga RM5.00 seunit dalam tempuh lima tahun, iaitu pada 1997 (sila rujuk "Suara Johor", buletin rasmi Kerajaan Johor terbitan Jun 1996, halaman 10).
"Kenyataan ini menyebabkan ramai rakyat Johor menganggap ASJ seperti 'Skim Cepat Kaya' atau 'Skim Pak Man Telo', disebabkan keyakinan yang tinggi menggunung, pelabur telah membuat pinjaman bank antara RM10,000 hingga RM150,000, untuk dilaburkan di dalam ASJ.
"Kita difahamkan sebahagian besar dana ASJ dilaburkan di dalam anak-anak syarikat Jcorp yang banyak terlibat dengan pelaburan dalam sektor pertanian, kesihatan, hartanah, pembangunan, perindustrian, perkayuan, perhotelan, sukan, pengangkutan dan lalin-lain lagi," katanya.
Bagaimanapun tambahnya, ketika negara dilanda kemelesetan ekonomi pada 1997, Jcorp dan ASJ turut terjejas sehingga hutang Jcorp hampir mencecah RM4 bilion. Ini menyebabkan harga saham ASJ jatuh dengan begitu teruk sehingga ke paras RM0.18 sen seunit.
"Serentak dengan itu saiz dana pelaburan ASJ juga telah mengecil, dari RM299.35 juta pada awalnya merosot kepada RM53.383 juta, ini bermakna dalam tempoh lima tahun pelabur ASJ telah mengalami kerugian sebanyak RM245.467 juta, apa yang berlaku ini umpama pepatah, "tiada beban batu digalas".
"Akibatnya pelabur telah dibebankan dengan ansuran bulanan dan bayaran tahunan yang dikenakan pihak bank kepada mereka, bahkan ada sebahagiannya telah diambil tindakan undang-undang termasuk tindakan muflis," katanya.
Katanya, kerajaan telah memperkenalkan 'skim pembelian semula' ASJ pada 2004 dengan membeli semula unit ASJ pada harga RM1.00 seunit, namun pembayarannya dilakukan secara berperingkat-peringkat, tahun pertama 10 peratus dan bayaran berikutnya secara ansuran selama empat tahun berturut-turut.
Bagaimanapun skim ini tidak banyak mengubah keadaan terutama bagi pelabur yang membuat pinjaman bank.
Katanya, Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, selaku Pengerusi Jcorp dan CEO Jcorp, Tan Sri Mohamad Ali Hasim, sepatutnya berusaha untuk memulihkan harga pasaran ASJ, bukan mengambil tindakan menamatkan skim amanah ini.
"PAS Johor mendesak Jcorp membatalkan niat untuk menamatkan ASJ, sebaliknya mereka perlu merangka satu plan tindakan yang lebih agresif dan mampan bagi memulihkan harga ASJ.
"Kerugian yang dialami pelabur ASJ pada masa sekarang bersifat atas kertas tetapi apabila tindakan menamatkan skim amanah ini dilakukan maka ia merupakan tindakan bagi merealisasikan kerugian yang sebelumnya bersifat atas kertas kepada suatu realiti," katanya.
Katanya, Jcorp perlu mengambil tanggung jawab sepenuhnya di atas kegagalan ASJ, dengan nilai asset melebihi RM10 bilion, sepatutnya Jcorp mengambil langkah berani dengan membeli balik kesemua saham ASJ pada harga asal RM1.00 seunit, langkah seumpama ini telahpun diambil Kerajaan Selangor ke atas Saham Amanah Selangor (ASAS), pada 2003 dan Kerajaan Terengganu (ASDI) pada 2006.
"Pembelian balik secara tunai oleh Jcorp ini akan membantu meringankan beban pelabur-pelabur ASJ khususnya pelabur yang membuat pinjaman bank," sambungnya.
Selain itu katanya lagi, PAS Johor juga mendesak Badan Pencegah Rasuah (BPR), menjalankan siasatan berhubung laporan audit berakhir 31 Mei 2007 sehingga 30 November 2007.
"Pelaburan ASJ berjumlah RM48.7 juta merosot dengan begitu teruk kepada RM23 juta, bagaimana kerugian begitu besar dialami ASJ dalam suatu jangka masa yang singkat.
"Justeru sebagai kesimpulannya, apa yang berlaku ini membuktikan dengan jelas kelemahan serta kegagalan Kerajaan Johor pimpinan Umno-Barisan Nasional mentadbir dan mengurus wang rakyat," tegasnya.



