KG PARIT RAJA SARI, BAKRI : 28 JUN 2010 - Perubahan cuaca akhir-akhir ini kepada musim hujan berterusan telah mengakibatkan berlakunya banjir di beberapa kawasan perkampungan di DUN SG ABONG. Bencana alam ini amat memberi kesan kepada sebilangan rakyat yang tinggal di kawasan yang tiada sistem perparitan yang terurus atau kawasan tanah rendah. Lebih-lebih lagi pada minggu lepas dan minggu ini, hujan turun pada dua masa iaitu malam dan pagi.
Keprihatinan wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri Sg Abong (PAS), YB Dr. Hj. Sheikh Ibrahim Salleh telah terserlah ketika beliau menjalankan lawatan segera ke kawasan-kawasan perumahan yang ditenggelami air dan pada kali ini, beliau sempat melawat ke sebuah rumah di Kg Parit Raja Sari pada jam 5 petang selepas selesai perkhidmatan beliau di Klinik Ibrahim & Surgeri. Walaupun ADUN Pakatan Rakyat Johor tidak diberikan sebarang peruntukan oleh Kerajaan Negeri untuk disampaikan kepada rakyat, namun beliau telah menyampaikan sumbangan segera kepada seorang makcik (gambar) iaitu salah seorang penduduk kampung itu yang dikenalpasti kurang berkemampuan.
Makcik itu memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dalam keadaan kesempitan ada pula yang menghulurkan bantuan tanpa disangka. Lebih-lebih lagi ADUN sendiri yang datang melawat penduduk-penduduk setempat. Menurut YB, beliau akan berusaha untuk meminta bantuan bagi memulihkan keadaan parit di rumah makcik itu setelah air kering, bagi memastikan dia dan keluarga dapat meneruskan hidup seperti biasa.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada wakil penduduk kampung yang datang membuat aduan dan mengharapkan kerjasama seperti ini dapat dimantapkan tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa. Rakyat juga boleh membuat aduan, cadangan, komen atau pendapat di Laman Rasmi beliau di http://dunsgabong.blogspot.com . Manakala, Pusat Aduan Rakyat bagi ADUN SG ABONG ialah di Klinik Ibrahim & Surgeri di Jalan Salleh atau terus menghubungi P.A. beliau iaitu En Ahmad Jimin 019 659 2245.
0 comments